Menara telekomunikasi penyebab kanser?

Posted by Admin on 3:20 PM

Melaka ICT Holdings Sdn. Bhd. (MICTH) menegaskan menara telekomunikasi sedia ada atau yang akan dinaikkan tidak mendatangkan mudarat kepada penduduk sekitar, bahkan pembinaan struktur binaan itu dijangka meningkat nilai hartanah sesuatu kawasan.

Pengurus Infrastruktur Telekomunikasi MITCH, Mohd Hafizullah Abdullah berkata, menara telekomunikasi hanya melepaskan radiasi tidak berion hanya memberikan kesan baik bagi hubungan komunikasi dan parasnya ditahap 0.01 peratus juga telah disahkan selamat oleh Agensi Nuklear Malaysia.

Katanya, sehingga kini masih belum ada fakta menyatakan radiasi dari menara telekomunikasi merosakkan tubuh badan dan menyebabkan kanser.

“Sebahagian penduduk menzahirkan kerisauan mereka terhadap kerja-kerja menaikkan menara itu dan rata-ratanya mengulangi kegusaran sama iaitu, radiasi penyebab kanser dan menjejaskan nilai premis mereka.

“Kesemua itu tidak benar, bagi hartanah lihat contoh di negara jiran, Singapura, mereka mempunyai kira-kira 5,000 menara telekomunikasi, walaupun negara mereka agak kecil dibandingkan dengan kita, namun nilai hartanahnya semakin meningkat.

“Soal radiasi pula, perkara itu telah diperhalusi oleh Agensi Nuklear Malaysia dan mereka telah mengukur dan mengesahkan semuanya dalam keadaan baik,” katanya.

Hafizullah berkata, bagi memudahkan orang ramai memeriksa sendiri kadar radiasi dilepaskan menara telekomunikasi, kod QR turut diperkenalkan di menara-menara baharu yang dibina bagi memudahkan komunikasi dengan penduduk sekitar.

“Kita dah pasangkan kod QR di 41 lokasi menara bagi memudahkan masyarakat ketahui secara pantas maklumat mengenai radiasi,” katanya.

Berhubung bantahan penduduk di Jalan Rahmat 4 mengenai kerja menaikan menara terbabit, Hafizullah berkata, kajian terhadap perkara itu akan dilakukan dan data berhubung bantahan itu akan digunapakai bagi situasi sama seluruh Melaka.

Jelasnya, menara telekomunikasi yang dibantah akan dinaikkan sebagai servis kerajaan negeri terhadap penduduk selepas dua menara telekomunikasi milik Maxis Berhad dan Digi Telecommunications Sdn. Bhd. (Digi) dilaporkan diturunkan dalam tempoh terdekat.

“Menara di kawasan itu akan dinaikkan juga sebab ada permit dan pendapat minoriti yang membantah akan memberi kesan terhadap majoriti pengguna.

“Lagi pun, kawasan yang dilihat sangat strategik kerana mampu menampung 750 pengguna dalam masa sama, jika tidak dilakukan dikhuatiri ia akan menjejaskan kehidupan pengguna lain,” katanya.

Sehingga kini, Melaka mempunyai kira-kira 610 menara telekomunikasi, dimana 249 darinya milik MITCH, 260 merupakan milik syarikat telekomunikasi tempatan dan 101 tiang telekomunikasi di kawasan sekolah, jumlah itu tidak termasuk 100 menara baharu yang akan dibina tahun ini.

Sumber : Melaka Kini (online)